Jelajah Agro Perak Bersama Tourism Malaysia - Persiapan Menjelang Visit Malaysia 2026
Pada 8 hingga 10 Julai 2025, ZFB Travel berpeluang menyertai Bengkel Pembangunan Pakej Agropelancongan anjuran Tourism Malaysia, sebagai usaha awal menyokong kempen Visit Malaysia 2026. Kami antara agensi pelancongan terpilih yang dijemput untuk menjelajah lokasi-lokasi agro menarik di Perak dan Selangor.
🌿 Apa Itu Agropelancongan?
Agropelancongan atau agrotourism ialah konsep pelancongan berasaskan pertanian, seperti lawatan ke ladang, dusun buah, ternakan, atau aktiviti berasaskan alam dan hasil bumi tempatan. Ia kini menjadi trend baru, terutama dalam kalangan pelancong Muslim yang mencari pakej percutian unik, sihat, dan halal.
Agro Trail Perak & Selangor
Hari Pertama: Nenas, Durian & Ke Kuala Kangsar
Kami bertolak dari ibu pejabat Tourism Malaysia ke destinasi pertama - Saudagar Nanas di Sungai Merab, ladang yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan nenas. Disini kami menikmati pemandangan ladang di sebuah bukit berhampiran Bangi.
Kami disajikan dengan jus nenas yang segar bersama tart dan kuih lain. Saudagar Nanas juga mempunyai cafe dan restoran dimana pengunjung boleh menikmati makanan sambil menikmati suasana bukit dan ladang ini.
Kemudian kami singgah ke DurianBB Academy di Serdang untuk sesi edukasi berkaitan durian premium.
Selesai belajar mengenai durian dan jelajah kebun durian di Serdang, kami kemudian menuju ke utara.
Selepas makan tengahari di Nasi Bamboo Sg Klah, kami meneruskan lawatan ke MARDI Kuala Kangsar untuk melihat teknologi pertanian moden.
Di MARDI Kuala Kangsar, kami dibawa menjelajah kebun dan dusun hasil penyelidikan tempatan. Antara buah yang menarik perhatian ialah buah mesta, seakan-akan manggis dari segi rupa, tetapi lebih manis, isinya padat dan lebih "crunchy". Ia masih belum begitu dikenali secara komersial, namun mempunyai potensi besar sebagai buah tempatan premium.
Selain itu, kami juga berpeluang menaiki traktor sambil menikmati pemandangan kebun yang subur, melalui Tambun Musk Melon Agro Farmyang disusun kemas mengikut sistem pertanian moden.
Kemuncak lawatan ke MARDI adalah pesta buah-buahan tempatan yang dianjurkan khas oleh pegawai-pegawai MARDI sendiri. Kami diberi peluang merasa pelbagai jenis durian istimewa, termasuk varieti popular seperti Musang King dan D24, serta spesis jarang seperti MS88, dan beberapa jenis durian yang masih dalam fasa penyelidikan dan belum didaftarkan secara rasmi. Rasa unik, aroma padu dan tekstur berbeza membuatkan pengalaman ini benar-benar eksklusif. Satu keistimewaan yang hanya boleh dinikmati oleh peserta terpilih.
Hari Kedua: Gaharu, Melon & Titiwangsa
Pagi dimulakan dengan lawatan ke HOGA Gaharu Tea Valley di Gopeng, sebuah ladang gaharu yang tenang dan mendamaikan, dikelilingi oleh ratusan pohon gaharu yang ditanam tersusun rapi di atas bukit. Ladang ini bukan sekadar pusat pertanian, tetapi juga menjadi lokasi agro-edukasi dan pelancongan kesihatan yang semakin dikenali.
Apa yang menjadikan gaharu di sini unik ialah benihnya yang diimport dari Jepun, melalui proses penyelidikan yang teliti untuk memastikan kualiti resin gaharu terbaik dapat dihasilkan. Gaharu atau nama lainnya agarwood, juga dikenali sebagai "black gold", kerana resin dari "pokok yang rosak" ini sebenarnya bernilai tinggi di pasaran global, terutamanya dalam industri minyak wangi (oud), perubatan tradisional, dan aroma terapi.
Sepanjang lawatan, kami didedahkan dengan info menarik mengenai sejarah gaharu, bagaimana resin itu terbentuk secara semula jadi apabila pokok gaharu mengalami tekanan, serta pelbagai jenis produk yang boleh dihasilkan daripadanya. Antara produk yang boleh dibeli di sini termasuklah teh gaharu, minyak aroma terapi, sabun, wangian oud, serta kayu gaharu asli yang dipamerkan dengan nilai mencecah ribuan ringgit.
Lawatan kami diakhiri dengan menikmati kopi gaharu HOGA yang beraroma lembut, serta ais krim HOGA yang unik, kombinasi yang menyegarkan dan tidak mudah dilupakan.
Pada siang hari, kami singgah di Gopeng Agrotech, lokasi yang memfokuskan kepada pertanian fertigasi dan pendidikan agro. Disini kami boleh melihat penghujung banjaran titiwangsa, sungai yang dimana kita boleh rafting. Agrotech Pro menyediakan ladang sayuran, tempat penginapan dan mini zoo. Kita boleh melihat belbagai jenis sayuran dan haiwan seperti unta, ikan, ayam, burung. Pada waktu awal pagi, kita dapat menyaksikan awan yang cantik, "awan karpet".
Selepas itu, kami ke Zahara Garden untuk melihat tanaman eksotik dan haiwan jinak seperti musang pandan.
Untuk menutup hari dengan lawatan ke Tambun Musk Melon Agro Farm, satu-satunya ladang melon berskala besar di kawasan tersebut. Musk Melon adalah berlainan dari Rock Melon, ia lebih manis. Di Tambun, kita dapat melihat proses penanaman belbagai jenis melon, dari benih sehinggalah buah yang boleh dimakan. Kita juga boleh membeli Musk Melon dengan harga RM48 sebiji.
Hari ditutup dengan bengkel malam yang dihadiri Tourism Perak dan MARDI.
Hari Ketiga: Bengkel & Pembentangan
Hari terakhir dimulakan dengan sesi bengkel pembangunan pakej agro. Kami berpeluang membentangkan idea pakej baru bertajuk "The Peak at Agro" - jelajah agro halal 3H2N yang merangkumi lawatan ke ladang, pengalaman dusun, gaharu, dan pemandangan indah di Banjaran Titiwangsa.
Majlis penutup diadakan sebelum peserta bertolak pulang ke Putrajaya.
Pengajaran & Inspirasi
Trip ini membuka mata kami terhadap potensi agropelancongan. Bukan sekadar ladang dan buah-buahan, tetapi juga gabungan edukasi, santai, kesihatan dan warisan tempatan. Lokasi seperti HOGA Gaharu, Gopeng Agrotech, dan Tambun Melon Farm sangat sesuai dijadikan produk pelancongan baharu menjelang Visit Malaysia 2026.
Apa Seterusnya?
ZFB Travel Sdn Bhd akan membangunkan beberapa pakej agro halal yang mesra keluarga, boleh ditempah secara custom dan sesuai untuk semua musim. Kami percaya agropelancongan adalah peluang besar pada tahun 2026 untuk menarik pelancong domestik dan luar negara.
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tourism Malaysia kerana telah menjemput ZFB Travel menghadiri tour agro di Selangor dan Perak.